Friday, June 5, 2015

Pindah rumah

Tengahari, kami dalam perjalanan pulang ke rumah Tok. Aku rasa Mama tetap setia temankan Papa drive sepanjang perjalanan, cuma kali ni Mama senyap daripada biasa. Joe tidur lena kat sebelah kanan, kiri bibik Yan mula lelapkan mata. Aku masih terpaku mengenangkan semua yang berlaku sejak tiga hari lepas...

Jumaat, 29hb Mei 2015.

Mama temankan Papa untuk ke majlis makan malam amal di Bangi, tinggal aku dan bibik Yan di rumah. Kami sekeluarga baru saja berpindah ke banglo lima bilik di kawasan Templer Park minggu lepas. Suasana dalam rumah masih berserabut dengan perabot dan kotak-kotak yang belum separuh pun dikemas. Hari ni aku tidur seharian untuk balas balik beberapa malam lepas yang kurang tidur disebabkan packing-unpacking. Joe katanya akan balik rumah malam ni lepas lepak dengan kawan-kawan di uptown Danau Kota. Aku keluar dari selimut, capai handpone tengok jam - 7:21pm. Sempat lagi solat Maghrib!

Lepas ambil wudhu' dan solat, aku turun untuk mencari sisa baki makanan yang tertinggal. Tak ada apa yang boleh disantap kat atas meja, mungkin Mama pesan bibik Yan tak perlu masak sebab Joe akan makan di luar dan aku biasanya cukup dengan toast atau biskut cicah Milo. Aku rebus Maggie mee, bancuh Nescafe susu dan ambil sebiji epal. Di ruang tamu Yan tengah menonton Buletin Utama. Heh, sejak bila minah ni rajin ambil tahun pasal isu semasa. Bila aku check, rupanya tv yang menonton indah rupa Yan berdengkur...

Hampir semangkuk Maggie mee habis dibalun, baru Yan tersedar, bingkas bangun untuk menunaikan solat. Sebelum tu sempat Yan pesan supaya aku bukakan pintu kalau Joe balik. Selang beberapa minit Yan datang bersama semangkuk Maggie mee dan dua cili padi yang dijadikan ulam.

Tiba-tiba pintu utama yang terletak di belakang kitorang diketuk, agak kuat bunyinya. Yan hampir tersedak. Mungkin Joe balik, tapi yang hairan tak ada bunyi enjin kereta masuk atau bunyi gate terbuka. Aku pandang ke arah tingkap yang masih belum berlangsir, disebabkan lokasi pintu tu yang berada ke belakang sedikit jadi kalau ada sesiapa yang berdiri di depan pintu pasti kami akan nampak dari tingkap. Panik! Tak ada siapa yang berdiri di pintu. Aku dan Yan bertanya-tanya sesama sendiri samada kami tersalah dengar. Yan berhenti makan dan meneguk air untuk menghilangkan sisa perencah Maggie di tekak. Sedang mata kami tertumpu ke arah pintu, sekali lagi bunyi ketukan yang kuat menghentam pintu sedangkan tak ada siapa di luar. Tombol pintu mula dipulas-pulas, dan waktu ini aku dan Yan menjerit serentak. Aku tarik tangan Yan untuk pergi ke dapur, pastikan semua pintu tertutup dan kami mengambil pisau sebagai senjata jikalau apa-apa berlaku. Aku masuk ke bilik Yan, tutupkan tingkap dan ambil handphone.

"Tak ada battery!" Yan berbisik. Aku cadang untuk naik ke tingkat atas untuk ambil handphone aku. Ketika kami sedang menapak menaiki anak tangga, aku terdengar suara Mama memanggil: "Yaaannn...!!"

Aku pandang Yan, Yan terpaku, pucat lesi. Kami batalkan rancangan untuk ke tingkat atas, sebaliknya aku dan Yan berpelukan di ruang tamu. Aku cuba pasang semua lampu kipas dan semua suis yang ada. Alarm system masih belum install, jadi harapan kami cuma tunggu Joe balik.

Aku terdengar lagi bunyi perabot berat ditolak dan diseret ke sana sini dari tingkat atas. Aku dan Yan tak habis-habis berdoa supaya diselamatkan dari semua kejadian buruk. Seketika terdengar katil di bilik aku yang terletak di atas bilik Yan disorong kemudian ditarik balik. Aku menangis. Yan tak henti-henti membaca ayat-ayat suci al-Quran.

"Neng, kita kena berani ambil phone kat atas Neng," cadang Yan sambil terketar-ketar.
"Aku tak berani Yan..." tangisku.
"Kita kena dapatkan bantuan, Neng!" Yan cuba lagi. Aku pandang sekeliling. Suasana diam seketika. Aku menunggu. Menunggu keberanian yang entah bila akan sampai. Aku setuju bila Yan cadangkan kami perlu naik ke tingkat atas untuk mendapatkan phone, memandangkan itulah satu-satunya cara untuk mendapatkan bantuan. Rumah jiran lain agak jauh dan jalan di luar sunyi.

Tiba-tiba bunyi gelas pecah di dapur. Aku dan Yan bingkas bangun dan berlari ke tingkat atas, segera mencari handphone di atas katil. Tangan aku masih terketar-ketar ketika menaip nama Joe di atas skrin. Dial, Joe. Panggilan tak dijawab. Aku dial nombor Mama dan Papa, pun tidak dijawab, kerana Mama dan Papa biasanya mematikan telefon apabila berada di majlis. Belum sempat aku dial nombor Joe, bunyi gate elektrik terbuka. Aku dan Neng masuk ke bilik Mama untuk melihat dari tingkap. Tiada kereta! Dan gate pun tak dibuka. Aku semakin panik bila tombol pintu utama masih digoncang seperti tadi.

Ketakutan bertukar menjadi marah. Aku berlari turun, Yan cuba menhalang tetapi aku dah sampai di depan pintu. Aku tendang pintu sekuat mungkin dan bunyi tu senyap. Tak lama kemudian Joe call, katanya akan sampai ke rumah lagi beberapa minit. Kami setia menunggu di pintu sehingga kelibat kereta Joe kelihatan dari luar pagar. Joe beri lampu highlight dan aku tekan kekunci untuk membuka gate. Lepas park, Joe masuk ke rumah dan kaget melihat aku dan Yan bagai terlihat hantu.

"Hei!" Joe melayangkan tangannya di depan mata aku. "What's wrong?"

Aku menceritakan semuanya kepada Joe.

"Ok, jom semua ke rumah Tok. Cepat, jangan berlengah," arah Joe. Aku sempat mengambil beberapa dokumen, purse, phone, charger dan pakaian. Kami bertiga bertolak ke rumah Tok di Kajang. Sepanjang perjalanan sejam ke rumah Tok, Joe hanya mendiamkan diri bila ditanya soalan berkaitan kejadian tadi. Lepas diasak-asak, barulah Joe membuka suara ketika kami masuk ke Jalan Kuching.

"Abang dah tau memang rumah tu problem. Tapi Papa tak nak dengar!" jawapan Joe menimbulkan pelbagai lagi persoalan.
"Apa yang abang tau pasal rumah tu?" tanya aku.
"See, Papa beli rumah tu dengan harga bawah market value, right? There must be something! Papa kata harga bargain macam tu disebabkan location yang jauh dari bandar besar. Tapi abang memang tau kawasan Templer tu agak keras. Terutama rumah banglo ni, dengarnya dah lebih 10 tahun tak dihuni." jawab Joe.
"Habis tu kenapa Papa nak jugak pindah ke sini?"
"Papa memang dah lama nak duduk di kawasan luar bandar, sebab suasana lebih tenang. Tapi abang tak setuju Papa pilih banglo ni. What can I say?".

Kami diam lagi sehingga kereta Joe sampai ke perkarangan rumah Tok. Kak Mariam setia menunggu di pintu untuk menyambut kedatangan mengejut kami.

"Tok dah tidur, kamu semua tidur dulu la ye!" Kak Mariam membawa aku dan Yan tidur di bilik tetamu, sedangkan Joe di ruang tamu. Sebelum tidur, aku dan Yan sempat berkongsi pandangan tentang apa yang berlaku tadi.

Sabtu, 30hb Mei 2015.

Jam 2.15am, aku terjaga apabila kaki aku disentuh. Mama berikan isyarat tangan supaya aku diam.
"Jom, kita kena gerak ke Ajil" bisik Mama sambil tarik tangan aku bangun.
"Sekarang, Ma?" tanya aku masih mamai sambil lihat jam di telefon.
"Siap-siap, Papa dah tunggu dalam kereta", jawab Mama dan berlalu. Aku bangun dan terus berjalan, turun tangga dan keluar ke pintu. Papa dan Mama menunggu di tempat duduk depan kereta. Aku masuk ke seat belakang dan tertidur.

Deringan Whatsapp berbunyi. Aku capai handphone dan lihat mesej yang dihantar Joe: 'Where are you'.

Aku lihat kawasan sekeliling. Dinding kotor. Lantai penuh habuk. Sawang bergantung dan berkait di dinding dan siling. Tingkap yang tidak bercermin dan hanya tinggal bingkai terbuka luas menampakkan cahaya bulan yang sangat terang. Aku amati katil di tempat aku tidur, rupanya hanya bingkai katil ditutup kain putih. Aku kaget, terlalu panik dan tak bertenaga untuk menjerit. Aku tau aku berada di rumah usang, tapi aku tak tahu di mana. Seingat aku, aku berada di dalam kereta lepas Mama kejutkan aku untuk temankan Papa ke Ajil. Aku pandang tepat ke arah pokok pisang yang nampak berubah-ubah apabila terkena pancaran bulan. Aku kembali melihat skrin telefon.

"Hello, Joe. Hello... helloo...."

Talian mati kerana tiada signal. Aku mula menangis, sendiri, keseorangan di dalam rumah usang. Jam menunjukkan pukul 9 malam. Aku duduk terpaku di situ cuba memahami kejadian pelik yang berlaku... sehingga aku mendapat deringan Whatsapp sekali lagi: 'Abang call tak dapat, adik kat mana? Dah sehari suntuk kami cari.'

Aku balas: 'Adik tak tahu. Pls help me. Kat rumah tinggal. Usang. Luar ada hutan. There's an open window! Please help me!!!' Tapi belum sempat mesej dihantar, handphone terpadam kerana kekurangan batery. Aku cuba memberanikan diri. Aku tak sanggup berada di tempat ni untuk jangka waktu yang lebih lama. Nak tak nak, aku perlu keluar dari rumah usang ni segera.

Aku tak berani untuk buka pintu dan keluar dari bilik tu. Jadi aku cuba melihat kawasan sekitar tingkap. Padang luas, mungkin kebun. Ada beberapa pokok pisang dan pokok-pokok kecil. Cahaya bulan terang menerangi suasana. Sekurang-kurangnya boleh membantu aku mencari jalan. Aku teragak-agak untuk keluar, sebab aku tak tahu di mana aku berada. Tapi untuk terus tinggal di dalam bilik usang berhabuk tu, aku tak sanggup.

Aku cuba keluarkan kepala di tingkap untuk mengintai kawasan sekitar. Di tepi, ada sebuah banglo.... -ya! Itulah rumah yang baru kami huni sejak minggu lepas! Lampu terpasang, jadi aku fikir mesti ada sesiapa di rumah itu sekarang. Aku memberanikan diri untuk berlari ke banglo tersebut. Sekurang-kurangnya banglo tu pernah aku huni dan aku rasa lebih selamat berbanding rumah usang ni.

Aku berlari dan memanjat pagar di belakang dapur. Aku berjalan mengelilingi rumah dan sampai di pintu utama. Aku ketuk pintu utama. Tak ada siapa yang membuka pintu. Aku cuba pulas tombol, dan aku nampak Yan mengintai dari celah tingkap. Seketika kemudian pintu dibuka. Aku terus meluru masuk dan peluk Mama dan Yan sambil menangis.

"Adik pergi mana...?" tanya Mama teresak-esak. "Mama nak buat laporan polis, tapi kena tunggu 24 jam baru boleh report."
"Malam tadi adik ikut abang pergi rumah Tok," jawab aku.
"Tapi the next morning adik dah tak ada!" celah Joe. Aku keliru.
"Kan Mama yang kejutkan adik kat rumah Tok, suruh temankan Mama dan Papa ke Ajil?" jawab aku.
"Ke Ajil?" tanya Papa terkejut.
"Ye, Mama kejutkan adik untuk masuk ke kereta. Adik tertidur dalam kereta. Sedar-sedar adik kat rumah usang sebelah ni," aku terangkan. Jelas, Mama dan Papa tak tahu menahu langsung dengan kejadian malam tadi. Aku cuba terangkan kembali satu persatu kejadian yang berlaku, dibantu oleh Yan. Kami bercerita sehingga larut malam, sebelum Papa cadangkan semua tidur di bilik yang sama.

Keesokan hari, Papa membawa kami semua tinggal untuk sementara waktu di rumah Tok sementara Papa menjual rumah banglo tersebut dan mencari rumah kediaman lain.

No comments:

Post a Comment