Friday, June 5, 2015

Hidup baru

Mazli dan Alin mula-mula sekali bertemu ketika mereka sama-sama menuntut di Sydney di dalam jurusan berbeza - Mazli akauntan, manakala Alin bio-kimia. Mereka dari keluarga sederhana, ditaja oleh MARA dan aktif di dalam aktiviti sukan. Alin sering terlibat dalam sukan badminton dan larian yang dianjurkan oleh komuniti tempatan, manakala Mazli lebih berminat dengan sukan air seperti paddling dan rowing sports. Mereka berkahwin sebelum tamat pengajian, direstui kedua-dua belah pihak dan diraikan oleh rakan-rakan. Namun selepas hampir lapan tahun belum dikurniakan cahaya mata.

Selepas kembali ke Malaysia, Mazli bekerja sebagai internal auditor di Petronas, manakala Alin memilih bahagian pentadbiran di MOSTI. Semakin hari semakin lewat mereka pulang ke rumah, dibebani oleh kerja dan makin sedikit masa diluangkan bersama. Kadang kala mereka menerima tetamu dari kedua belah pihak yang datang dan memeriahkan suasana dengan anak-anak saudara. Kadang kala muncul rasa iri di dalam hati, namun mereka percaya semuanya sudah tertulis dan kehidupan ini hanya sementara sebelum dipanggil Ilahi.

Namun kebelakangan ini Mazli sering pulang jauh lebih lewat ke rumah. Kebiasaannya Alin akan keluar minum bersama teman rapat, Johanna. Malam itu Alin menunggu Mazli pulang sebelum memberitahu cadangan Johanna supaya mereka pergi bercuti selama dua minggu menaiki kapal mewah merentasi Mediterranean sea. Alin agak kecewa apabila Mazli menotak mentah-mentah cadangannya.

"Apa yang tak kena dengan awak ni, Mazli? Sejak kebelakangan ni awak buat saya macam tak wujud lagi dalam hidup awak," bentak Alin. Mazli hanya diam sambil membuka tie dan t-shirt yang hampir 20 jam melekat di badan.
"Saya letihlah, esoklah cakap," jawab Mazli menuju ke bilik air.
"Setiap hari awak letih, letih, letih. Saya je yang tak letih," sambung Alin. Mazli terus masuk ke bilik air dan mandi. Alin menunggu di sofa tv. Sebaik Mazli keluar, Alin sambung.
"Saya tau awak sengaja menjauhkan diri dari saya. I know who I am!" Air mata bergenang. "Saya tahu awak dah berjumpa balik dengan Aishah. Oh, dia hebat, kan? Cantik, well-educated, dan yang paling penting...," Alin menahan sebak.
"Alin, stop!"
"... dia tak mandul macam saya, kan?" Kali ni air mata Alin tak tertahan lagi jatuh membasahi pipi. Mazli memeluk Alin yang teresak-esak menangis. Apabila Alin ingin bersuara, cepat-cepat Mazli menahan dan memeluk Alin sehingga tertidur.

Pagi itu Johanna menelefon.
"Hei beb, ada lagi tiga tiket untuk cruise tu, hopefully you and your husband boleh join?"
"Nantilah I fikir," jawab Alin.
"Alin, kalau susah sangat you datang sorang je. Mazli is always like that kan, sibuk dengan kerja tak ada masa dengan you."
"I will think about it. I call you balik tengahari ni ok?"
"Better be hurry, kalau tak I offer kat orang lain beb! This is a bargain price tau..."
"Ok, I will call you Jo," jawab Alin, terus meletakkan telefon dan menghabiskan kopi di dalam mug.

Alin masih teringat ketika mereka baru berkahwin, segalanya cukup indah. Di antara dia dan Mazli tidak ada banyak masalah kecuali pada beberapa waktu yang Alin merasakan kekurangan kerana ketiadaan zuriat. Hidupnya sunyi. Dia tahu Mazli juga berasa begitu, manakan tidak, mereka datang dari keluarga yang mempunyai adik beradik yang ramai. Hampir setiap tahun ada saja yang menerima orang baru. Namun begitu Mazli berubah sangat kebelakangan ini. Alin berasa kecewa apabila mendapat tahu Aishah, kekasih lama Mazli ketika di Sydney kini sudah berpindah ke tempat kerja di KLCC. Paling menyedihkan apabila mereka pernah dilihat keluar bersama untuk makan tengahari. Aishah mempunyai tiga cahaya mata namun sudah bercerai dengan bekas suaminya. Kekecewaan Alin bertambah apabila ternampak mesej dari Aishah yang jelas selalu berkomunikasi dengan Mazli. Apabila Alin cuba berbincang, Mazli hanya menafikan. Namun Alin tahu, hubungan mereka tak akan kekal lama kerana Mazli sudah jauh banyak berubah.

Tengahari itu, Alin membuat keputusan nekad. Dia tak sanggup hidup bersendiri walaupun bersama. Alin perlu mencari sesuatu yang mampu membuatkannya bahagia. Lihat Johanna yang sudah biasa hidup sendiri dan sentiasa ada aktiviti yang dilakukannya. Selepas menelefon Mazli untuk bertanya samada Mazli ingin mengikuti rombongan kapal, jelas Mazli tidak berminat langsung. Mazli kini bukan lagi Mazli yang sebelum ini yang setia menemani Alin ke mana-mana sahaja.

Bulan Julai, musim panas di Eropah. Alin dan Johanna serta rakan-rakan sekerja Johanna menaiki kapal cruise mengelilingi Eropah. Mereka ke Paris, Italy, Spain dan akhir sekali Amsterdam. Satu perjalanan yang sangat menarik, namun Alin berasa kekurangan. Dia ingin menghabiskan masa bersama Mazli dan berjalan mengelilingi dunia seperi yang pernah mereka idamkan satu ketika dulu.

Sejak kembali dari Eropah, Alin semakin akrab dengan Johanna. Mereka sering menghabiskan masa bersama dan kadang-kadang tidur di rumah Johanna. Johanna membuktikan kepada Alin bahawa dia juga boleh bahagia hidup sendiri. Mereka berlayar, menaiki bukit, gunung, kereta kabel, bercuti di Bangkok, Jakarta dan shopping dan berborak sehingga lewat malam di kedai kopi. Johanna juga memperkenalkan Kamaruzzaman, engineer yang bertugas enam bulan di Malaysia dan enam bulan di Kuwait.

Mazli mula menampakkan perasaan cemburu, namun perkara itu lebih membuatkan Alin ingin menunjukkan kepadanya bahawa dia boleh bahagia hidup sendiri. Kadang-kala Alin sengaja menunjukkan kepada Mazli dia sedang bercakap dengan Kamaruzzaman, tetapi Alin berasa kecewa apabila Mazli tidak menampakkan reaksi. Alin sangat kecewa kerana dia terlalu menyayangi Mazli, namun Mazli mungkin sudah tidak ada perasaan terhadapnya lagi.

Semenjak itu Alin cuba lebih rapat dengan Kamaruzzaman. Mereka keluar bersama dan pergi bercuti bersama rakan-rakan yang lain. Perlahan-lahan Alin tertarik dengan personaliti Kamaruzzaman yang pandai mengambil hati dan membuatnya ketawa. Perlahan-lahan, perasaannya terhadap Mazli semakin pudar. Apabila Kamaruzzaman berterus-terang akan niatnya untuk memperisterikan Alin, Alin rasa sudah tiba masanya dia memberitahu Mazli.

Suatu malam, Mazli mengajak Alin keluar. Alin rasa inilah satu-satunya peluang untuk berterus-terang. Mazli memilih makan malam di Luna Bar, meja luar tanpa bumbung untuk menikmati angkasa Kuala Lumpur. Selepas memilih menu, mereka pun berpandangan sesama sendiri. Mazli memandang Alin  bagaikan pertama kali mereka bertemu. Namun bagi Alin, Mazli hanya tinggal sejarah dan masa depannya kini hanya bersama Kamaruzzaman.

"Saya ada perkara nak bagitau," Mazli memulakan bicara.
"Saya pun," jawab Alin.
"Ok, makan dulu," jemput Mazli, tersenyum namun Alin tidak memandang.

"Apa yang awak nak beritahu tu," Mazli cuba memecah kesunyian. Alin memandang tepat ke wajah Mazli.
"Saya rasa mungkin kita tak dapat bahagia bersama, sebab saya tengok awak lebih bahagia saya sendiri," jawab Alin memandang tepat ke wajah Mazli. Mazli tenang namun senyuman di wajahnya hilang. "Saya dah berjumpa dengan seseorang." Sambung Alin. Kali ini Mazli tertunduk, diam.
"I'm happy for you," jawab Mazli, kembali pandang Alin dan tersenyum.
"Good for us," Alin mula menitikkan air mata.
"Yeah," jawab Mazli.
Mereka menghabiskan sisa makanan dah tiada apa lagi yang mereka katakan selepas itu.

Dua bulan selepas perkahwinan Alin dan Kamaruzzaman, tiba-tiba Mazli menelefon.
"Alin, kalau awak tak kisah, saya nak berjumpa dengan awak sekali saja. La Creperie de Caroline, Jalan Telawi, tonight?"
"Ok."

Malam itu Alin hanya mengenakan t-shirt putih dan jeans. Inilah kali pertama dia akan bertemu balik dengan Mazli selepas lebih enam bulan tidak bersama. Alin terkejut melihat perubahan susuk tubuh Mazli.
"I'm so selfish," kata Mazli ketika Alin sampai ke meja.
"Awak ok ke?" tanya Alin. Mazli hanya mengangguk.
"Pertama sekali, saya nak minta maaf kat awak," balas Mazli.
"Minta maaf?"
"Ya. Saya tak tahu macam mana nak bagitau awak. Ingat lagi masa kita makan malam di Luna Bar? Saya plan nak bagitau awak masa tu tapi lepas tu saya rasa tak perlu. Cuma..." Mazli terdiam. Lama.
"Mazli, cuba bagitau, apa saja, akan sedia dengar," balas Alin, risau melihat keadaan Mazli yang kurus melidi dan pucat. Mazli batuk-batuk dan cepat-cepat mengambil tisu menyapu cecair merah di bibir.
"Oh no.... don't tell me that!" Alin menutup mulut, menangis.
"Alin, saya minta maaf sebab tak bagitau awak lebih awal. Saya cuma nak awak happy," jawab Mazli.
"You're so selfish!" Alin terus berlari meninggalkan Mazli. Sampai saja di kereta, Alin menangis teresak-esak. Mazli mengejar perlahan-lahan dari belakang.

Mereka menaiki kereta menuju ke bukit Ampang. Di situ, mereka duduk bersebelahan. Mazli menceritakan kepada Alin bagaimana dia didiagnos jangkitan kanser paru-paru. Sejak itu dia cuba untuk menjauhi Alin kerana dia tahu dia akan pergi selama-lamanya.

"Saya dah berada di tahap empat masa jumpa doktor. Sejak tu saya cuba untuk larikan diri, sebab saya tau saya akan buatkan awak sedih. Saya sedih bila awak jumpa Kamaruzzaman, tapi dalam masa yang sama saya rasa itulah yang terbaik untuk awak, bila saya dah tak ada nanti, saya taknak awak bersedih," jelas Mazli sambil Alin tak dapat menahan sebak.
"Awak pentingkan diri sendiri, Mazli! Sedangkan awak tahu kita boleh hadapi semua ni bersama-sama... Saya ingat awak dah tak sayang saya lagi sebab tu saya pergi."
"I'm sorry, Alin!"


**************************************

Seminggu selepas itu Alin menjiruskan air melur ke atas pusara Mazli. Alin hampir menyesali dengan apa yang berlaku, namun selepas mendapati air kencingnya mempunyai kandungan hCG dia mulai rasa yakin dengan masa depan bersama Kamaruzzaman dan anak yang bakal mereka perolehi.

No comments:

Post a Comment