Saturday, June 6, 2015

Lari

Minggu akhir sebelum Aidilfitri. Seperti biasa aku dan pembantu rumah, Awin keluar mencari juadah berbuka di bazar Ramadhan. Bukannya sebab masakan Awin tak sedap, tapi aku suka membeli beberapa juadah berlainan jenis untuk dijadikan santapan. Awin mendukung Tasha di dalam gendongan bayi yang dibuat sendiri dari kain batik, manakala aku memegang purse di celak ketiak. Sedang sibuk memilih antara kuih dangai dan char kuey teow, aku mendapat panggilan dari nombor tak dikenali.

"Ella, ayah ni. Ayah sekarang di emergency UMMC. Ella boleh datang?"
"Ayah ok ke?"
"I'm fine, cuma ayah nak Ella tolong bawakan makanan."
"Ok, Ella sampai lagi 15 minit."

Perjalanan dari bazar Ramadhan seksyen 16 ke hospital Universiti Malaya mengambil masa 5 minit, tetapi pencarian tempat letak kereta mengambil masa hampir 10 minit. Selesai meletakkan kereta, aku berjalan pantas menuju ke was kecemasan ditemani Awin yang menolak kereta sorong Tasha. Sampai di depan pintu kecemasan, aku pesan Awin supaya tak ke mana-mana.

Aku tinggalkan Tasha yang sedang tidur di dalam kereta sorong dan menuju masuk ke bilik kecemasan.

"Ayah ok?" Aku meletakkan beberapa bungkusan makanan. Char kuey teow, kuih dangai dan air tebu.
"Ayah tengah drive tadi, tiba-tiba ayah rasa nak pitam. Ayah berhenti tepi jalan."
"Oh, kalau ayah tak larat ayah boleh buka puasa. Jangan paksa diri."
"Terima kasihlah bawakan makanan. Ayah tak lalu makan di hospital ni."
Aku cuma tersenyum. Ini bukan kali pertama aku ke wad kecemasan UMMC. Tapi ayah memang begitu, sibuk dengan urusannya siang dan malam. Ditinggalkan mak seorang diri di rumah. Walaupun kadang-kadang keadaan jantungnya tak stabil, ayah tetap berdegil untuk drive sendiri.
"InshaAllah lagi 15 minit masuk waktu ni, ayah jemput makan ye. Ella nak tengok Tasha."
"Siapa jaga Tasha? Kenapa tak bawak masuk?"
"Awin jaga. Baby tak boleh masuk wad."
"Ella percaya Awin jaga? Kan Awin baru dua minggu kerja dengan Ella?"
Kata-kata ayah mula membuatkan jantung aku berdegup. Ada benarnya juga aku perlu berasa sangsi, tapi cepat-cepat aku abaikan rasa curiga.
"Oklah, ayah jaga diri, nanti Ella datang lagi. Ella nak tengok Tasha."
Aku cepat-cepat beransur meninggalkan ayah. Aku keluar dari bilik kecemasan, aku lihat Awin dan Tasha tiada. Aku pandang ke kiri dan kanan, di ruang menunggu dan ruang duduk, tiada kelibat mereka. Aku panik. Darah mengalir laju dan jantung aku berdegup kencang. Tangan dan seluruh badan mula menggeletar. Kata-kata ayah bergema dalam ingatan. Aku lari ke bahagian pendaftaran, sempat bertanya kepada beberapa pegawai.
"Encik ada nampak gadis pakai baju warna biru dengan kereta sorong bayi?"
"Tak ada." Jawab pegawai ringkas, tapi wajahnya berubah bila ternampak muka panik aku.
Aku berlari ke hujung kiri bangunan. Seluruh tempat duduk yang semakin lengang, tiada kelibat Awin. Aku berlari ke hujung kanan tempat kemasukan pesakit yang diusung ambulans, pun tiada. Aku berlari keluar, tiada. Aku terus berlari keluar dari kawasan hospital menuju ke Jalan Universiti. Aku berlari sehingga ke tengah jalan di atas divider, tanpa memperdulikan lagi trafik dari utara atau selatan. Aku memegang kedua-dua pipi sambil air mata jatuh bercurahan.
Tasha baru sahaja enam bulan umurnya, anak sulung hasil perkahwinan aku dan Jefri. Aku sungguh tak dapat bayangkan apakah nasib Tasha dibawa lari. Bagaimana aku boleh bernafas jika Tasha yang aku jaga siang dan malam diambil sedemikian rupa? Aku berlari sepanjang jalan, cuba mencari kelibat kalau-kalau Awin membawa Tasha menaiki apa-apa kenderaan.
Suasana senja sunyi, tiada apa-apa suara dan bunyi. Segalanya seperti terhenti. Jantung aku juga seakan terhenti.
Aku kembali masuk ke kawasan hospital. Aku cuba gagahkan diri sekali lagi mencari sebelum aku membuat laporan polis. Aku berlari sekali lagi dari satu ruang ke ruang yang lain, sehingga aku masuk ke dalam tandas perempuan. Aku menghempas pintu tandas sekuat-kuatnya dan...
Awin sedang membetulkan tudung di depan cermin, sambil Tasha masih nyenyak tidur.
"Kau pegi mana?" jerkah aku pada Awin. Awin tergamam, tak faham salah yang dibuatnya. "Ok, tak apa. Ikut saya."

Aku drive kereta ke rumah. Sediakan makanan, kami berjuadah bersama Jefri yang baru pulang. Jefri sempat bermain-main dengan Tasha sebelum duduk semeja. Aku tahu Jefri perasan aku dan Awin diam membisu.
Selepas solat Isya', aku masuk ke bilik Awin dan aku ceritakan semua yang berlaku. Aku minta maaf atas kekasaran, namun Awin faham kenapa aku berperwatakan begitu disebabkan keadaan.

6 comments:

  1. Saya terjebak membaca cerita ini menerusi blog rotikaya. Hihi. Tapi tak menyesal. Sebab sy memang minat membaca dan garapan cerita ini sangat menarik! TAHNIAH. Membaca cerota ini seakan sedang membaca karya terbitan alaf 21. Semoga berjaya :) :)

    ReplyDelete
  2. Cerita dan tulisan yg menarik
    #kipidap

    ReplyDelete
  3. good job ... best cerita ni..... :) :) :)

    ReplyDelete
  4. good job.. best cerita ni.. :) :) :)

    ReplyDelete
  5. Saya dah bookmark blog ini.
    Kumpul dan hantarlah karya2 saudara/i kepada alaf 21. Saya rasa peluang untuk mereka berminat menerbitkan pasti tinggi. Semoga berjaya!
    Enjoy my reading here :)

    ReplyDelete